October 20, 2010
KUALA LUMPUR, 20 Okt – Anak sulung Allahyarham jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Bukhari, 25, hari ini secara rasminya menyertai Pergerakan Puteri Umno serta dilantik menjadi anggota Biro Pembangunan Usahawan dan Pemantapan Ekonomi pergerakan itu.Borang keahlian beliau diserahkan kepada Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Bercakap kepada pemberita selepas penyerahan borang berkenaan, Erni Dekritawati (gambar), yang lebih mesra dipanggil Rita, berkata penyertaannya yang didorong oleh rakan-rakannya itu bertujuan untuk meneruskan legasi arwah ibunya.
“Saya rasa saya boleh membantu usahawan-usahawan wanita untuk terus maju ke hadapan dan mempraktikkan segala ilmu yang diajar oleh ibu saya kepada orang lain.
“(Ini) cara untuk menghargai jasa ibu saya yang sebelum ini banyak menolong ibu tunggal serta wanita kurang upaya... ia menjadi satu platform untuk saya lebih senang menolong orang,” katanya.
Selepas menyerahkan borang, Rita hadir kira-kira 10 minit untuk mengikuti perbahasan persidangan Puteri Umno yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 12 Sept lepas, polis mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. – Bernama
No comments:
Post a Comment