Wednesday, September 8, 2010

Kecoh bazar Ramadan

MASJID TANAH - Sekumpulan peniaga bazar Ramadan, di sini, kesal dengan tinda­kan penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengeluarkan notis saman terhadap mereka.

Peniaga yang baru memulakan perniagaan di situ mendakwa, tindakan mengenakan saman terhadap peniaga tidak wajar kerana mereka menyewa tapak berkenaan daripada penganjur.

Walhal, tapak sewaan itu adalah milik MPAG yang disewakan kepada penganjur.

Berikutan tindakan itu, peniaga terbabit membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, dekat sini, semalam.

Salah seorang peniaga, Abdul Razak Mohamad Dali, 48, berkata, dia terkejut dengan kehadiran beberapa pegawai penguat kuasa MPAG yang terus memasuki gerainya.

“Penguat kuasa berkenaan tiba-tiba muncul ketika saya sibuk melayan pelanggan. Saya terkejut dan malu kerana disaman di depan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Safri Salim, 31, pula menganggap tindakan pihak MPAG mengeluarkan saman ke atas mereka menutup punca rezeki peniaga di kawasan berkenaan.

“Kami bukannya sepanjang masa berniaga di sini, cuma setahun sekali sahaja. Itu pun mereka nak saman, bukannya mereka tidak tahu kewujudan bazar di sini. Bagaimana peniaga Melayu nak maju?” katanya.

Kamsiah Jano, 50, pula menyifatkan MPAG tidak hormat pengunjung apabila meninggikan suara ketika melakukan pemeriksaan mengejut.

“Sepatutnya pegawai terbabit tidak perlu menunjukkan sikap angkuh mereka di depan orang ramai. Kita datang bukan mahu mendengar masalah mereka, cubalah bawa berbincang," katanya.

Sementara itu, pe­nganjur bazar Ramadan berke­naan, Hairol Naim Ismail berkata, MPAG sepatutnya menyaman penganjur, bukannya peniaga.

“Saya memang tidak puas hati kerana mereka ganggu peniaga yang baru sahaja memulakan perniagaan beberapa hari lalu.

"Sebelum ini, dua minggu tempat ini kosong disebabkan sewa tapak yang dikenakan MPAG terlalu mahal,” katanya.

Menurutnya, dia ada bertanya kepada Pe­ngarah Pelesenan MPAG mengenai sewaan tapak di situ, bagaimanapun MPAG seolah-olah bermain tarik tali apabila tidak mengeluarkan sebarang surat hitam putih.

"Keadaan ini menyebabkan tiada peniaga yang berani meletakkan barang jualan mereka di bazar Ramadan ini tetapi apa yang berlaku adalah MPAG menghantar anggota penguat kuasa untuk menyaman peniaga," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPAG, Nordin Ali berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit kerana tidak mempunyai lesen untuk berniaga bazar Ramadan.

Selain itu katanya, pe­nganjur belum melunaskan bayaran kepada MPAG bagi sewaan tapak bazar Ramadan berkenaan walaupun pihaknya sudah mengurangkan harga sewaan tapak berke­naan.

"Kita sudah luluskan permohonan penganjur untuk kurangkan kadar sewaan tapak tetapi penganjur belum membuat bayaran kepada kami.

"Alasan penganjur, mereka tidak dapat hitam putih daripada MPAG mengenai pengurangan kadar berkenaan sedangkan kita sudah pun menghantar pemberitahuan persetujuan menerusi pos," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

No comments:

Post a Comment