Monday, August 16, 2010

Tiga beranak cedera disimbah asid

KUALA TERENGGANU – Tiga beranak cedera parah disimbah asid dalam satu kejadian kira-kira jam 1.45 pagi di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, bersama anak keduanya, Nur Dahyatul Fazlinda, 8, dan anak bongsunya, Mohd Irfan Firdaus, 2, melecur teruk pada bahagian badan manakala ibunya, Minah Omar, 56, cedera ringan.

“Sebelum ini suami pernah ugut untuk simbah asid dan dia ada hantar mesej untuk berbuat demikian jika tidak memberi duit, tetapi saya tidak sangka dia benar-benar bertindak seperti itu,” demikian kata mangsa simbahan asid, Che Ku Zaimah.

Menceritakan kejadian itu, Che Ku Zaimah yang tinggal di Kampung Sekayu, Kuala Berang, ketika ditemui di wad kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, suaminya dikatakan bertindak secara tiba-tiba selepas cuba memecah masuk ke rumah ibunya di Kampung Sekayu dengan membawa asid kira-kira jam 1.45 pagi.

“Dia menendang pintu bilik menyebabkan saya terjaga dan terus keluar bilik menuju ke arahnya apabila melihat di tangannya ada bekas plastik berisi cecair, dipercayai asid,” katanya.

Tanpa berlengah, katanya, dia merebut asid di tangan suaminya, namun malang asid itu mengenai dua anaknya yang sedang menyaksikan kejadian itu, manakala dua lagi selamat kerana tidur di tempat lain.

Che Ku Zaimah berkata, susulan kejadian itu, dua anaknya melecur sebahagian besar muka dan dada, manakala anak bongsunya luka pada muka dan badan, sementara ibunya cedera pada mata dan lengan.

Malang bertimpa apabila Che Ku Zaimah terjatuh ketika terpijak cecair terbabit menyebabkan sebahagian besar belakang, paha dan leher melecur.

Mengulas lanjut, mangsa, peniaga pasar pagi di Kuala Berang mengakui sudah tidak tinggal sebumbung dengan suaminya sejak tiga minggu lalu memberitahu suspek selalu meminta wang dan kerap mengambil semua wang hasil perniagaannya.

Dia berkahwin dengan suspek kira-kira 10 tahun lalu berkata, perubahan sikap itu ditunjukkan suaminya selepas berhenti kerja juruselam di Kuala Lumpur sejak setahun lalu dan percaya suaminya menagih dadah.

Sehubungan itu, mangsa tidak tahan dengan sikap suaminya mengambil keputusan tinggal dengan ibunya dan membawa empat anaknya, sementara suaminya tinggal di Kampung Kemat.

No comments:

Post a Comment