Monday, July 12, 2010

Andres Iniesta wira julang Sepanyol juara Piala Dunia 2010





(Para pemain Sepanyol meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Piala Dunia FIFA 2010
selepas berjaya menewaskan Belanda 1-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung
di Stadium Soccer City, Johannesburg. –foto AFP)


JOHANNESBURG: Andres Iniesta muncul wira buat Sepanyol apabila gol tunggalnya memastikan The Matador menang 1-0 ke atas Belanda di Stadium Soccer City.

Gol Iniesta itu hadir pada minit ke-116 dalam masa tambahan hasil daripada umpanan Cesc Fabregas untuk memusnahkan impian lawan berikutan kedua-dua pasukan belum pernah muncul juara.

Sejak di awal permainan, sukar untuk menentukan bayangan pasukan manakah yang bakal bergelar juara juga belum jelas berdasarkan peluang seimbang yang diciptakan oleh kedua-dua pasukan.

Vicente Del Bosque mengekalkan skuad yang sama seperti dalam peringkat separuh akhir bertemu Jerman yang menyaksikan Fernando Torres kekal di bangku simpanan.

Sepanyol bagaimanapun terlebih dahulu berpeluang menguji Maarten Stekelenburg menerusi tandukan Ramos namun sempat ditepis oleh penjaga gol itu pada minit ke-5.

Namun rentak Belanda semakin yakin selepas beroleh peluang pertama berikutan kesilapan Sergio Busquets yang hampir membawa padah buat The Matador. Mujur cubaan jauh Dirk Kuyt tepat ke arah Iker Casillas.

Penjaring terbanyak Sepanyol, David Villa kemudian berjaya melepasi perangkap ofsaid tetapi bola terlalu jauh dalam kawalannya. Penggempur itu sekali lagi memiliki peluang untuk memecah kebuntuan tetapi cubaan kali ini sekadar singgah di luar jaring sahaja.

Gandingan Robben dan Wesley Sneijder sekali lagi memainkan peranan penting untuk mengkucar-kacirkan benteng juara Euro 2008 itu yang diketuai Puyol.

Pada minit ke-33, Casillas hampir dimalukan apabila silap mengagak hantaran 'fair play' apabila bola melantun tinggi hampir melepasinya tetapi hujung jarinya memastikan bola dikeluarkan.

Namun van Persie bertindak lebih bijak dengan menolak sepakan penjuru tersebut ke arah penjaga gol Real Madrid itu.

Pertahanan The Oranje, Joris Marthijsen berputih mata apabila sekadar menyepak angin ketika tidak dikawal di kiri kotak penalti lawan.

Pertukaran pertama dalam perlawanan dilakukan (m60), Pedro dikeluarkan dan memasukkan Jesus Navas.

Pada minit ke-64 Casillas membuktikan mengapa dia adalah pilihan nombor satu apabila menyelamatkan percubaan satu lawan satu dengan Robben.

Pada minit ke-70, Heitinga muncul menyelamatkan keadaan bahaya apabila mengecewakan Villa apabila tendangannya dihadang pertahanan Everton itu.

Tidak lama selepas itu, Sergio Ramos pula terlepas peluang menanduk masuk pergerakan mirip gol Puyol dalam aksi separuh akhir.

Pada minit ke-83, apakah yang difikirkan Robben apabila dia mempersiakan peluang apabila sekali lagi gagal melepasi halangan terakhir Casillas.

Menuju lima minit wisel 90 minit ditiupkan, dua pasukan Eropah itu lebih berminat membuat hantaran selamat untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Tempoh 15 minit lagi diperlukan untuk menentukan siapakah juara Piala Dunia edisi sulung di benua Afrika.

Belanda dan Sepanyol kelihatan seperti tidak rela untuk membiarkan pemenang ditentukan melalui sepakan penalti.

15 minit tambahan masa pertama berlangsung, Sepanyol begitu bersemangat untuk memburu kelebihan gol. Juara Euro 2008 itu menimbulkan kelam-kabut di dalam kotak penalti lawan.

Cesc Fabregas, pemain yang dimasukkan pada lewat permainan tetapi tendangannya mengenai kaki Maarten Stekelenburg tatkala penjaga gol itu sudah merebahkan badan.

Susulan daripada gerakan itu, Andres Iniesta bersikap tamak kerana ingin melakukan tindakan penyudah meskipun dua rakannya yang lain berada di posisi lebih terbuka.

14 kad kuning telah dilayangkan, sembilan daripadanya diberikan kepada kem Belanda sekaligus rekod baru temasya apabila Webb melepasi layangan enam kad kuning yang dilakukan pada 1986 dan 1990.

Ketika perlawanan bersambung, Heitinga menerima kad kuning kedua gara-gara kesalahan menarik Iniesta dan pengadil tidak mempunyai pilihan selain daripada mengarahkannya meninggalkan.

Ketika permainan berbaki empat minit, Iniesta menghadirkan keceriaan buat penyokong Sepanyol apabila menewaskan Stekelenburg dengan 10 gerakan serangan kilat.

Walaupun anak-anak buah van Marwijk cuba membantah kerana mendakwa Iniesta dalam kedudukan ofsaid, tetapi rakaman ulang tayang jelas pemain Barcelona berkenaan tidak membuat sebarang kesalahan untuk meletakkan satu lagi trofi dalam kabinet The Matador.

No comments:

Post a Comment