Saturday, June 19, 2010

Tian Bidas Media Seolah Lebih Pandai Daripada Hakim


SHAH ALAM 19 - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bertegas bahawa beliau masih seorang ahli parlimen yang sah dan tidak timbul isu mengapa beliau perlu mengosongkan kerusi parlimen berkenaan.
Ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini, beliau berkata hakim mahkamah tinggi, Datuk Ghazali Cha telah membuat keputusan bahawa tidak akan berlaku pilihan raya kecil dalam keputusan penghakimannya berhubung kesalahan Tian Chua yang didakwa menggigit anggota polis tiga tahun lalu.

"Perkara ini sudah tidak ada isu dan saya sudah beritahu banyak kali bahawa hakim telah isytihar tidak ada pilihan raya kecil. Penjelasan hakim bukan isu kerana beliau telah membuat keputusan tidak akan ada pilihan raya," ujarnya.

Tian Chua menyifatkan perkara itu telah diputarbelitkan oleh media bermula dengan laporan Malaysian Insider yang membayangkan bahawa peguam beliau, akan menemui hakim berkenaan Isnin depan bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan tersebut.

Ini berdasarkan artikel 48A perlembagaan yang menyebut seseorang ahli parlimen akan kehilangan kerusi sekiranya dijatuhkan hukuman penjara selama setahun atau dididenda tidak kurang dari RM2,000.

Kontroversi timbul apabila hakim mahkamah tinggi menjatuhkan hukuman RM2,000 yang menyebabkan berlaku pelbagai tafsiran.

Bagaimanapun Ghazali dalam keputusannya menyatakan denda tersebut telah dikurangkan dari RM3,000 yang sepatutnya dikenakan ke atas Tian Chua bagi mengelakkan berlakunya pilihan raya kecil.

Media hari melaporkan peguam Tian Chua, Ranjit Singh dan Amer Hamzah Arsyad, telah mengutus surat kepada hakim petang semalam bagi mempertimbangkan atau menterjemahkan keputusan tersebut.

Bagaimanapun media melaporkan hakim telah memaklumkan kepada penolong pendaftar, bahawa keputusannya berhubung 'tiada pilihan raya kecil' adalah jelas dan tidak perlu meminda denda RM2,000 yang dikenakan ke atas Tian Chua.

Ditanya samada Suruhanjaya Pilihan Raya akan menggunakan keputusan itu untuk membubarkan kerusi parlimen Batu berdasarkan artikel 53 perlembagaan, Tian Chua berkata setakat ini agensi pilihan raya itu tidak membuat sebarang rayuan berhubung keputusan hakim.

"Kes ini sama dalam kes Kota Seputeh, mahkamah tak setuju kerusi dikosongkan, jadi tak perlu rayulah. Mahkamah sudah putuskan tak ada pilihan raya kecil.

Beliau menyifatkan hakim lebih 'faham' mengenai keputusan yang dilakukan dan tidak perlu ditafsirkan oleh sesiapa termasuk SPR atau media.

"Hakim ketika membaca keputusan, dia faham artikel itu, bahawa tidak akan hilang kelayakan (sebagai ahli parlimen). Hakim dah umumkan. Dia (SPR) boleh cabar, di mahkamah rayuan. Tapi setakat ini tak ada cabaran dan perkara ini sudah tak ada isu.

"Ini hanya kerja 'journalist' seolah-olah lebih pandai dari hakim," ujarnya.

No comments:

Post a Comment