Sunday, June 27, 2010

Judi sukan: boleh tutup buku.. kata Umno/BN





Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak umum kerajaan sudah buat keputusan tidak akan keluarkan lesen judi sukan kepada Ascot Sports.

Beliau mengumumkan demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC Jumaat malam.

Katanya keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan umum terhadap hal berkenaan.

Menurut Najib semua ahli Majlis Tertinggi UMNO menyokong penuh keputusan itu.

Beliau juga memberitahu keputusan berkenaan sudah dimaklumkan kepada pihak Ascort Sports.

Syarikat itu dimiliki oleh ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan.

Katanya tiada pampasan akan diberikan kepada syarikat berkenaan kerana dibawah akta Menteri Kewangan ada kuasa menarik balik pemberian lesen pada bila-bila masa.

Najib juga menjelaskan mengenai latarbelakang lesen itu.

Katanya lesen berkenaan sudah mula diberikan pada tahun 1989.

Namun syarikat berkenaan alami kerugian besar pada tahun 1990 dan serah balik lesen itu kepada kerajaan.

Selepas itu beberapa kali cuba membaharuinya.

Menurut beliau baru-baru ini kerajaan telah mengeluarkan kelulusan pada dasarnya kepada syarikat itu ( yakni kelulusan tanpa kebenaran boleh beroperasi lagi) dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi.

Syarat-syarat itu ialah orang Islam tidak dibenarkan sama sekali terlibat dengan kegiatan pertaruhan sukan sama ada membeli, bekerja atau menjadi lembaga pengarah dalam syarikat pertaruhan.

"Syarat ini adalah sesuatu yang begitu tegas yang ditentukan oleh kerajaan," katanya.

Najib berkata adalah menjadi hasrat kerajaan selama ini untuk mengawal pertaruhan sukan haram yang dikatakan melebihi RM10 bilion di samping menyumbang kepada kegiatan jenayah yang lain dan ancaman sosial dalam negara.

Pada masa yang sama kerajaan mendapatkan pandangan umum mengenainya.

Menurut Perdana Menteri walaupun ada pandangan yang menyokong dan menentang kerajaan mendapati jelas sebahagian besar masyarakat tidak bersetuju.

Beliau juga berkata kerajaan membuat keputusan tidak memberi lesen itu atas pertimbangan dari segi agama dan kesan politik.

Ditanya sama ada keputusan itu dipersetujui oleh parti komponen Barisan Nasional ,beliau berkata kesemua mereka menerima keputusan itu demi kepentingan masyarakat secara keseluruhannya.-25/6/2010

No comments:

Post a Comment