Tuesday, June 8, 2010

Israel Bunuh 4 komando Palestin di Pantai Gaza

BANDAR GAZA - Tentera Israel semalam menembak mati empat komando Palestin di perairan Gaza ketika negara Yahudi berkenaan bergelut dengan kemarahan masyarakat antarabangsa berhubung serangan ke atas sebuah kapal bantuan ke Gaza pada minggu lalu.

Beberapa saksi Palestin berkata, mereka melihat tentera Israel menembak sebuah bot di perairan tengah Gaza pada pukul 4 pagi waktu tempatan.

Beberapa jam kemudian, empat mayat yang memakai sut penyelam ditarik keluar dari laut, kata sumber perubatan sambil menambah mereka merupakan anggota komando.

Tentera rejim Zionis berkata, ia telah menyerang satu skuad pengganas berpakaian sut penyelam sedang dalam perjalanan untuk melancarkan serangan.












BEBERAPA penduduk Palestin membawa jenazah seorang anggotakomando Palestin di Bandar Gaza semalam.

Bagaimanapun, seorang mangsa yang terselamat, Abu al-Walid memberitahu bahawa terdapat tujuh anggota Briged Mati Syahid Al-Aqsa di atas bot berkenaan tetapi ia tidak membawa sebarang senjata.

Menurutnya, semasa kejadian mereka sedang mengadakan latihan renang.

Dua orang berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi masih hilang, tambahnya.

Keganasan terbaru Zionis itu berlaku seminggu selepas tentera laut Israel menyerbu kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan ke Gaza dengan menyebabkan sembilan orang terbunuh, kebanyakan mereka rakyat Turki.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Bidden berkata, Washington sedang mencari kaedah baru bagi menangani sekatan Israel ke atas Gaza. - AFP

No comments:

Post a Comment