Bantulah seikhlas mungkin....
DIkirim oleh epondok di Disember 20, 2009
JITRA: “Saya tak syak ia perbuatan khianat walaupun kebakaran kali kedua ini berlaku pada hari dan masa sama seperti kejadian pertama minggu lalu,” kata Pengetua Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah, Sobri Osman, 53, yang masih terkejut dengan kebakaran kali kedua di sekolah pondok di Kampung Tanjung Kapur, di sini, tengah hari kelmarin.
Menurutnya, dia tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak kerana beranggapan ia suratan takdir.
“Namun yang menimbulkan tanda tanya ialah kejadian ini (kebakaran kelmarin) berlaku pada sama hari dan masa dengan kebakaran minggu lalu iaitu pada Jumaat dan berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari.
“Ketika kejadian, kami menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid berhampiran,” katanya yang ditemui di madrasah berkenaan di sini, semalam.
Ustaz Sobri berkata, pihaknya menyeru orang ramai yang bermurah hati supaya menghulurkan sumbangan bagi membina semula 63 pondok yang musnah dalam kebakaran iaitu 23 pondok pada 11 Disember lalu manakala 40 pondok lagi musnah kelmarin.
“Jumlah kerugian dianggarkan RM500,000 termasuk kos pondok pelajar serta pelbagai jenis kitab yang dibeli sejak madrasah ini dibuka 18 tahun lalu.
“Buat masa ini semua pelajar yang menetap di pondok terbabit dipindahkan ke dewan madrasah buat sementara waktu sehingga pondok baru yang bakal dibina siap sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, projek pembinaan pondok baru itu kelak akan didirikan menggunakan batu simen bagi menjamin keselamatan pelajar pada masa depan.
“Sejak ditubuhkan, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku. Pelajar kami berusia antara 13 hingga 30 tahun datang dari sini (Kedah), Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Kuala Lumpur,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Sobri di talian 019-4949310 atau 019-4949314
No comments:
Post a Comment