Tuesday, December 22, 2009

Pengamal Rasuah Pengkhianat Negara

Walaupun isu mengenai rasuah ini bukanlah isu baru dan boleh dikatakan semua negara di dunia ini tanpa mengira agama dan bangsa menghadapi masalah yang sama untuk memerangi wabak rasuah. Walaupun sudah berbagai usaha dan tindakan yang dilaksanakan untuk memerangi wabak ini namun perlakuannya masih lagi berlaku.

Rasuah adalah perbuatan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Berdasarkan laporan dalam media cetak dan elektronik di dapati pada kebiasaannya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu atau menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu.
Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang Qat’ie iaitu al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Quran terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan

Firman Allah SWT maksudnya  :

 “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Al-Baqarah : Ayat188)

Manakala sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tabrani mafhumnya: “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”. Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2008, sebanyak 605 tangkapan telah dibuat.


Apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah mereka yang melakukan rasuah atau bersyubahat adalah dianggap sebagai perompak harta rakyat.
Besar pangkat seseorang maka besarlah peluang untuk merompak harta rakyat dan semakin pintar pula untuk melepaskan diri dari disabitkan dengan jenayah rasuah.
 Jika keadaan amalan jenayah rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara.


Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan najis rasuah berlaku?. Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.

Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat.
Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat seperti para petani, nelayan, penoreh getah, penarik beca dan kumpulan dhaif yang lain yang tidak terlibat secara langsung dengan pengurusan harta negara.

Rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa kita.
Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah ibadah dan doa kita menjadi sia-sia, justeru akan menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT.

Pengamal, penyalahguna dan mereka yang bersyubahat dengan rasuah adalah pengkhianat negara. Apa yang nyata, kadar celik huruf dan celik akal di kalangan rakyat negara ini semakin tinggi tetapi mereka yang terlibat gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah di negara ini.

No comments:

Post a Comment