Tuesday, December 15, 2009

PAS tetap pertahan agenda hudud, negara Islam

Jimadie Shah Othman & Andrew Ong . Dis 15, 09 . 4:17pm

PAS tidak akan sekali-kali berkompromi dengan perjuangannya untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud kerana ia sebahagian tuntutan agama, tegas menteri besar Kelantan.
"Mana boleh kompromi, ini ibadat. Bila kita tolak politik Islam, (maksudnya) kita tolak ibadat. Sedangkan Tuhan buat manusia ini untuk beribadat.

"Ibadat bukan bermakna sembahyang sahaja," kata Datuk Nik Aziz Nik Mat, juga mursyidul am PAS, ketika diwawancara Malaysiakini Khamis lalu.

Beliau diminta mengulas pendirian PAS berhubung cita-cita besar parti itu apabila ia secara rasmi bersama Pakatan Rakyat apabila gabungan didaftarkan.

PAS dan DAP sering bergeser berhubung isu negara Islam dan hudud sehingga memaksa DAP meninggalkan Barisan Alternatif pada 2001.

Bagaimanapun kedua-dua parti itu berpayung bawah Pakatan Rakyat bersama PKR selepas kemenangan besar mereka pada pilihan raya umum 2008.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz bagaimanapun positif bahawa perbincangan berterusan berhubung perkara itu antara tiga parti utama tersebut boleh menjernihkan keadaan.

"Islam sebut, bawa mari hujah (kamu). Awak tidak faham, (awak) boleh caci Islam, boleh caci apa saja. Islam beri peluang jawab (dengan) hujah.

"Cuma kalau tidak faham, kita tanya orang lain," katanya.

Diminta mengulas sikap beberapa pemimpin kanan DAP yang agak lantang dengan dua agenda PAS tersebut, seperti pengerusi DAP Karparl Singh, Nik Aziz secara sinis berkata:

"Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia.

"Orang yang bercakap macam itu, sudah tidak ada sekarang, makin kurang. Itu watak lama."

Berikut petikan wawancara berhubung isu tersebut:

Hubungan dalam parti-parti Pakatan, selalu muncul isu hudud, kerajaan Islam. Setakat mana PAS sebagai parti yang perjuangkan Islam boleh berkompromi dalam perkara ini, yang selalu menyebabkan perselisihan faham dengan DAP?

Mana ada manusia boleh hidup senang dari muda sampai ke tua. Kadang-kadang kena kudis, doktor pun berkudis juga. Jadi, lumrah alam dan dunia memang begitu. Ada syaitan-malaikat, baik-jahat, syurga-neraka.

Tidak usahlah perkara ini. Hendak sebut, (sila) sebut. Tetapi kena dengar jawapan (kami). Kalau kamu seorang sebut, (tetapi) tidak hendak dengar jawapan, mana boleh.

Islam sebut, bawa mari hujah (kamu). Awak tidak faham, (awak) boleh caci Islam, boleh caci apa saja. Islam beri peluang jawab (dengan) hujah. Cuma kalau tidak faham, kita tanya orang lain.

Cumanya, kita masih berpegang dan tidak akan berkompromi dengan idea negara Islam, dengan hudud?

Mana boleh kompromi, ini ibadat. Bila kita tolak politik Islam, (maksudnya) kita tolak ibadat. Sedangkan Tuhan buat manusia ini untuk beribadat. Ibadat bukan bermakna sembahyang sahaja. Sembahyang pun kalau tidak betul cara ibadatnya, ditolak Allah.

Bagi kami (sebagai) pejuang Islam, semua kerja itu ibadat. Hatta ceramah pun ibadat. Orang hendak bagi duit minyak, bagi. Tidak beri, maka cicah roti denga budu. Biasalah dalam PAS ini, kerana kami dapat pahala.

Orang tolak Islam dapat pahala apa? Kita doa, itu (juga) ibadat. Orang Umno berdoa juga, doa dengan allah, Allah mana hendak terima (doa, sebab) kamu tolak Islam.

Bagaimana hasrat ini hendak jadi kenyataan sebab dalam DAP misalnya, orang mudanya agak OK tetapi orang lama macam pengerusinya Karpal Singh itu nampak keras sikit.

Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia.

Orang yang bercakap macam itu, sudah tidak ada sekarang, makin kurang. Itu watak lama.

Apa boleh buat? Nabi Muhammad dulu, bapa saudaranya Abu Talib membela baginda, tetapi dia tidak turut Islam. Apa boleh buat?

(Membaca hadis) Nabi kata, baginda ajar bapa saudaranya mengucap (dua kali syahadah), tetapi dia (Abu Talib) kata: 'kalau aku mengucap, aku malu.'

Malu (sebab) bapa saudara turut (ajaran) anak saudara. Biasanya anak saudara yang ikut bapa saudara. (Abu Talib kata,) 'tidak mengapalah, biar aku masuk neraka daripada tanggung malu.' Ada juga orang sebut macam itu.

Habis itu, kita akan terus beri nasihat? Berbincang?

Ya, nasihat, sebut, bincang. Saya suka sangat kalau orang tanya saya. Kalau saya boleh jawab, saya jawab. Tidak boleh jawab, saya kata tanya orang lainlah, saya tidak berapa faham.

No comments:

Post a Comment