LANGKAWI - Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi edisi 2009 (Lima 09) bermula semalam dengan pertunjukan aerobatik oleh pelbagai pesawat udara yang cukup mempesonakan.
Majlis perasmian Lima 09 itu disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), yang menampilkan gabungan kawasan pameran bagi segmen pertunjukan udara dan maritim.
Turut hadir, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, arkitek utama Lima, dan Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean yang juga Menteri Pertahanan republik itu.
Singapura yang menyertai Lima buat pertama kali menghantar helikopter penyerang Apache AH-64D Longbow dan sepasang pesawat pejuang untuk menyertai Lima ini.
Pertunjukan udara bermula dengan persembahan tiga pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) MIG-29N, yang dijangka akan dilupuskan menjelang akhir tahun depan.
Pesawat yang juga dikenali dengan panggilan 'Taufan Ganas' itu mempamerkan gerakan cukup mendebarkan penonton.
Pertunjukan udara selama 12 minit itu mencuri tumpuan pengunjung, sekali gus membuktikan bahawa walaupun dijangka akan digantikan tahun depan, pesawat supersonik itu masih memiliki keupayaan yang perlu disegani.
Kemudian tiba giliran satu-satunya wakil pesawat SU-30MKM atau dikenali sebagai Sukhoi, mempesonakan hadirin dengan gerakan mantap membuktikan keupayaannya sebagai pesawat pejuang paling hebat dan canggih milik negara.
Helikopter penyerang Apache AH-64D Longbow milik Singapura kemudiannya menguasai ruang udara kawasan pameran dengan pertunjukan yang mendebarkan, bersama pesawat pejuang F-16C/D Fighting Falcon.
Tidak ketinggalan untuk turut serta dalam pameran pagi ini ialah pesawat Tentera Udara Diraja Australia F-111 'Aadvark', sebelum diikuti pesawat B-52 'Stratofortress' milik angkatan tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di Guam.
Kehadiran pesawat B-52 yang cukup terkenal dengan peranannya melaksanakan 'carpet bombing' dalam konflik di Vietnam dan Perang Teluk, turut mendapat perhatian ramai pada Lima tahun ini.
Sejumlah 15 pesawat dan helikopter dijadual mengambil bahagian dalam pertunjukan udara setiap hari sepanjang tempoh Lima 2009 ini.
Dengan penyertaan 325 pempamer dari 25 negara, pameran ini dilihat menampilkan peralatan-peralatan maritim, udara dan pertahanan yang cukup banyak, dan ia dijangka menarik kunjungan 30,000 pelawat. - Bernama
No comments:
Post a Comment