Dis 1, 09 4:01pm
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim, didakwa melakukan terlalu banyak lawatan ke luar negara bagi mempromosi industri hab halal sedangkan hasil tidak dinyatakan.
Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) memberitahu persidangan DUN Pulau Pinang hari ini bahawa dalam pengetahuannya, sudah lapan kali Abdul Malik ke luar negara tetapi tidak ada sebarang kejayaan seperti memeterai perjanjian dengan pelabur luar negara diumumkan.
"Saya juga hendak tahu berapa jumlah lawatan sudah dibuatnya ke luar negara dan apa kejayaannya dalam memeterai perjanjian dengan pelabur luar," katanya ketika membahaskan Bajet 2010 kerajaan negeri.
Muhammad Farid menegur Ketua Menteri Lim Guan Eng kerana pernah mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati rakyat Singapura.
"Banyak reaksi yang kurang senang dengan kenyataannya dikeluarkan dilaporkan media di sana dan ini tidak begitu baik dalam usaha negeri ini menarik lebih ramai rakyatnya ke sini.
"Macam mana kita hendak menarik orangnya datang ke sini apabila hati mereka terguris dengan kenyataan tidak sensitif terhadap mereka.
"Beliau sepatutnya menjaga pertuturannya," kata Muhammad Farid.
Lim bangun bagi menafikan dakwaan itu dan berkata akhbar di Singapura tersilap melaporkan kenyataannya.
"Apa yang saya perkatakan dalam majlis tertutup bersama rakyat Pulau Pinang tidak sepatutnya disiarkan dan berbeza dengan apa diperkatakan sebenarnya," katanya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment