” Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan akan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap satu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil, hendaklah kamu berlaku adil ( kepada sesiapa jua ) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengatahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan “ Al-Maidah:8
Saturday, December 19, 2009
Bapa rayu bantuan pembedahan hati anak
Ahmad Ismail (kanan) dan isterinya, Asmanida Zaaba memangku Nor Mohd. Almi yang menghidap bengkak hati semasa ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, semalam.
TEMERLOH 18 Dis. - Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak mereka, apatah lagi yang masih bayi, menangis saban hari menanggung kesakitan.
Namun, disebabkan kesempitan hidup, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh seorang peneroka, Ahmad Ismail, 60, untuk mengurangkan penderitaan anaknya, Nor Mohd. Almi berusia enam bulan, yang menghidap bengkak hati sejak dilahirkan.
Dia dan isteri, Asmanida Zaaba, 30, tidak sanggup lagi melihat anaknya itu terus menangis setiap hari kerana menahan kesakitan yang ditanggungnya.
''Sejak lahir anak saya sering batuk dan demam kuning. Saya tidak menyangka anak saya mempunyai masalah hati kerana ingatkan dia hanya demam biasa sahaja.
"Nor Mohd. Almi sentiasa menangis dan perutnya pula membesar kerana penyakit itu. Saya hanya mampu berdoa supaya penyakit anak saya ini dapat dirawat secepat mungkin," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di wad pediatrik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini hari ini.
Ketika dimaklumkan oleh doktor mengenai penyakit yang dialami bayinya itu, Ahmad dan Asmanida terkejut tetapi mereka menerimanya dengan reda kerana menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.
''Doktor bagaimanapun belum membuat anggaran kos sebenar pembedahan tetapi saya menjangkakan ia menelan belanja yang tinggi kerana penyakit anak saya ini amat serius," jelasnya.
Menurut Ahmad, anaknya itu perlu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Untuk mendapatkan rawatan di HKL, ia pasti memerlukan perbelanjaan yang besar sedangkan isteri saya tidak bekerja kerana perlu menjaga dua lagi anak tiri, manakala saya yang berpendapatan RM600 sebulan perlu menanggung perbelanjaan harian dan sewa rumah.
''Saya juga memerlukan wang untuk menampung kos berulang-alik dari Kuala Krau ke HKL bagi tujuan rawatan itu," ujarnya.
Berikutan itu, Ahmad berharap orang ramai dapat menghulurkan bantuan untuk membiayai kos pembedahan dan rawatan susulan penyakit anaknya itu.
Orang ramai yang berhasrat membantu Ahmad boleh menghubunginya di talian 013- 9306992 .
Ahmad memberitahu, Nor Mohd. Almi perlu menjalani pembedahan menggantikan hati yang rosak supaya dia dapat meneruskan hidup seperti insan lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment