Oleh Kamal Ahmad mohdkamal@bharian.com.my
DUTA Malaysia di Bangkok, Datuk Husni Zai Yaacob
Kes palsu kad kredit paling ramai
BANGKOK: Kegiatan memalsukan kad kredit adalah punca sebahagian besar daripada 500 rakyat Malaysia termasuk wanita merengkok dalam 18 penjara di Thailand ketika ini.
Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Husni Zai Yaacob, berkata 246 banduan menjalani hukuman di 10 penjara sekitar ibu kota ini manakala 251 lagi dalam lapan penjara di selatan Thailand.
Daripada jumlah itu, 125 merengkok dalam Pusat Pembetulan Lelaki (Men Correction Center) dan tiga dalam Pusat Pembetulan Wanita (Women Correction Center) di sini, manakala 102 lagi dalam Penjara Khas Songkhla.
Beliau berkata, kegiatan pemalsuan kad kredit itu didalangi sindiket yang membolehkan ada antara individu terbabit memiliki sehingga 10 kad kredit dan berbelanja di Thailand.
"Mereka beli barang dan bawa balik ke Malaysia untuk dijual semula. Ini adalah satu sindiket," katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Husni berkata, kes pemalsuan kad kredit mungkin disebabkan mereka tidak perlu memohon visa untuk memasuki Thailand selain faktor jarak dan sempadan memudahkan mereka keluar masuk di antara kedua-dua negara.
Katanya, sebahagian banduan lain terbabit dalam kegiatan dadah, jenayah seperti membunuh, mencuri, masuk tanpa dokumen sah dan menyebabkan kecederaan.
Husni berkata, pembabitan ramai rakyat Malaysia dalam kes pemalsuan kad kredit dijangka dibangkitkan dalam Perundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ke-4, Selasa ini.
Sesi pertemuan yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya dari Thailand, Abhisit Vejjajiva itu dijangka memberi fokus kepada beberapa masalah terutama berkaitan keselamatan di sempadan seperti penyeludupan dadah, manusia, barangan dan senjata api.
Najib dijangka tiba di sini lewat petang esok, untuk lawatan kerja tiga hari ke Thailand.
Antara barang yang diseludup ke Thailand ialah tepung, minyak masak, gula, gas memasak, petrol dan diesel. Penyeludupan ke Malaysia pula ialah beras dan pulut, mercun, bunga api dan pistol.
"Turut berlaku ialah kes perjalanan masuk rakyat kedua-dua negara tanpa dokumen yang sah sama ada pasport atau Pas Masuk Sempadan. Mereka masuk menggunakan Pas Masuk Sempadan tetapi melakukan perjalanan melebihi radius 25 kilometer dari pintu masuk sempadan seperti yang dibenarkan.
"Pergerakan merentas sempadan juga membabitkan rakyat asing yang masuk ke Malaysia melalui pintu masuk sempadan tanpa dokumen perjalanan yang sah. Berdasarkan rekod tangkapan, mereka termasuk Rohingya, Bangladesh, Afrika dan China.
"Isu lain yang akan dibincangkan ialah berhubung masalah di selatan Thailand," katanya sambil merujuk isu itu khususnya di Yala, Pattani dan Narathiwat yang bergolak sejak Januari 2004 lalu.
Mengenai hubungan dua hala kedua-dua negara, beliau berkata ia mencapai tahap yang kukuh dan semakin berkembang.
"Abhisit memegang kuasa pada Disember tahun lalu manakala Najib pula memasuki tahun pertama sebagai Perdana Menteri. Jadi, saya boleh katakan (hubungan ini) juga (satu) era baru. Saya nampak hubungan ini ada keakraban," katanya.
Di pihak Abhisit, katanya, Kerajaan Thailand kini memperkukuhkan pendekatan perhubungan (connectivity) untuk meningkatkan kerjasama. Ini termasuk perhubungan antara rakyat dengan rakyat serta perhubungan infrastruktur kedua-dua negara seperti Jambatan Persahabatan menghubungkan Bukit Bunga (Malaysia) dengan Ban Buketa (Thailand) yang akan menjadi antara lokasi dilawati kedua-dua Perdana Menteri, Rabu ini.
No comments:
Post a Comment