Monday, November 23, 2009

Menantu Nik Aziz letak jawatan

Menantu Nik Aziz letak jawatan


Nov 23, 09 3:17pm

Menantu tokoh PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilanda kontroversi sejak dua minggu lepas meletakkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terus menjadi fokus kontroversi apabila memecat Syed Azidi Syed Abdul Aziz, seorang pegawai kanan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

Abdul Ariffahmi, yang juga seorang exco Pemuda PAS Kelantan, mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media hari ini selepas didesak oleh barisan pemimpin kanan parti pagi ini.


Surat rasmi peletakkan jawatan tersebut bagaimanapun belum diserahkan, katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau juga enggan mengulangi kenyataannya dalam sidang akhbar tersebut.

Sementara itu, menurut media rasmi PAS, Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar ingin "menasihati" menantunya agar melepaskan jawatan tersebut.

Persetujuan itu dilaporkan diumumkan Nik Abdul Aziz pada satu sidang media - yang disertai oleh Abdul Ariffahmi - selepas pertemuan dengan pemimpin atasan PAS di kediaman rasmi menteri besar 10 pagi tadi.

Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din, Naib Presidennya Salahuddin Ayub dan Bendahari Agung Dr Hatta Ramli, laor Harakahdaily.net.

"Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Abdul Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan," laporan akhbar web itu dipetik.

Agensi berita Bernama pula melaporkan Nik Abdul Aziz mengarahkan menantunya itu berbuat demikian demi "menjaga nama baik kepimpinan Islam khususnya PAS."

"Nasihat kepada saya supaya menantu saya mengundur diri.

"Dulu masa saya lantik beliau, ada penasihat undang-undang, beliau tidak komen apa. Jadi saya lantik. Nanti untuk elak fitnah melalui bermacam saluran seperti surat layang jadi tidak mahu fitnah ini berkembang," beliau dipetik berkata selepas pertemuan itu di Kota Bharu.

Pada 11 Nov lalu, Syed Azidi yang lebih kenali dengan nama blog nya Kickdefella berkata beliau, sebagai bekas pegawai perhubungan awam PMBK, bersedia bekerjasama dengan pihak berwajib untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam perbadanan itu.

Menurut agensi berita itu lagi, pada sidang media sama, Abdul Ariffahmi berkata beliau menerima arahan dan akan meletakkan jawatannya setelah mengira baki cuti yang tinggal dalam PMBK.

"Saya ingin menyatakan saya dapat terima keputusan ini dengan hati yang lapang dan keputusan ini dibuat untuk menjaga nama baik kepimpinan Islam, kepimpanan PAS Kelantan dan parti.

"Terima kasih kerana saya diberi kepercayaan kepada Tok Guru (Nik Abdul Aziz) selama lapan tahun di PMBK dan jawatan terakhir saya adalah ketua pegawai eksekutif," beliau dilaporkan berkata.

Wakil rombongan pemimpin PAS pula, Sallahuddin, berkata beliau

menyifatkan keputusan Nik Abdul Aziz sebagai bukti integriti yang tinggi kerana menerima pandangan PAS dengan mengetepikan kepentingan keluarga dan dirinya demi perjuangan Islam dan parti.


sumber : http://www.malaysiakini.com/news/118116

No comments:

Post a Comment